Risiko hubungan seks terlarang
Allah meletakkan zina sebagai dosa besar demi menjaga kemuliaan keturunan, kesucian serta kehormatan diri manusia kerana zina adalah penyebab berlakunya perasaan benci sesama manusia sehingga menimbulkan dendam dan permusuhan.
Dalam al-Quran, disebutkan dalam surah al-Furqan ayat 68 hingga 70 bermaksud: Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain daripada Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan kecuali dengan alasan yang benar, tidak berzina, dan siapa yang yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat balasan dosa itu akan dilipatgandakan azab pada hari kiamat dan dia akan kekal di dalamnya, dalam keadaan terhina kecuali orang yang bertaubat.
APABILA kita membincangkan mengenai zina, semua itu tidak akan terlepas daripada seks bebas, seks rambang, keterlanjuran atau apa yang disebut sebagai perzinaan. Semua ini berkaitan dengan hubungan luar dari batas ikatan sosial yang sah iaitu perkahwinan.
Mereka yang terlibat dalam perlakuan zina selalunya membataskan pengungkapan dosa yang dilakukan hanya antara mereka dengan Tuhan, tetapi tidak pernah melihat kesan-kesan sadis terhadap diri si pelaku hasil perlakuan tersebut.
Selain kesan-kesan sosial terhadap masyarakat, zina juga mengundang padah, malahan maut.
Ini akan berlaku kepada wanita yang hamil akibat perzinaan tadi menyebabkan mereka akan cuba menyembunyikan kandungan mahupun menggugurkan kandungan mereka yang hasilnya pastilah menimbulkan kesan kepada kesihatan reproduktif mereka.
Menurut Ketua Unit Perkembangan Peribadi dan Profesionalisme Jabatan Pendidikan Perubatan, Fakulti Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, hubungan sosial perlu dilibatkan dari segi biologi, yang mulanya tercetus hasil daripada persetujuan komunikasi yang baik serta perjanjian.
Kesan hubungan seks melibatkan implikasi kehamilan yang perlu dilalui bersama oleh dua orang iaitu lelaki dan wanita yang bertanggungjawab dengan kehamilan itu.
Sudah tentu menerusi ikatan yang sah, kehamilan amat ditunggu-tunggu dalam sesebuah rumah tangga.
Setiap kehamilan itu perlu didukung oleh tubuh badan, emosi dan psikologi yang sihat untuk memberi sokongan kepada kehamilan yang dikehendaki.
Kehamilan yang diambil berat pastinya mendapat jagaan yang sempurna menerusi pengambilan makanan yang berzat dan disudahkan dengan kelahiran yang tidak bermasalah.
Dalam kes perzinaan, hanya satu pihak sahaja iaitu wanita yang menanggung akibat kehamilan yang tidak dikehendaki itu.
Sebahagian besar lelaki hanya akan lepas tangan dan enggan bertanggungjawab selepas terjadinya kehamilan berkenaan, katanya.
Dr. Harlina Halizah berkata, selain dipandang serong oleh masyarakat dan salah dari segi agama dan budaya, perzinaan juga meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kesihatan reproduktif seseorang wanita itu.
Selalunya wanita menyembunyikan kandungan (concealed pregnancy) mereka hasil perzinaan kerana enggan dipandang serong oleh masyarakat serta berasa malu, namun mereka tidak pernah terfikir kesan yang timbul terhadap kesihatan reproduktif mereka, katanya.
Wanita yang hamil dalam keadaan seperti itu katanya, hanya akan datang berjumpa doktor setelah usia kandungan sudah lewat yang pasti akan menyukarkan mereka sekiranya terdapat sebarang komplikasi terhadap kehamilan berkenaan.
Selain itu, hasil kehamilan melakukan seks secara rambang mengakibatkan kes-kes jangkitan penyakit kelamin yang menyebabkan wanita akan menanggung kesakitan di pelvik secara berpanjangan.
Komplikasi
Penyakit kronik ini akan menyebabkan gangguan kepada kitaran haid dan kesuburan serta mengakibatkan kandungan di luar rahim.
Melakukan seks secara rambang juga boleh menyebabkan wanita berkenaan dijangkiti bakteria dan virus HPV (Human Papiiloma Virus) yang menyebabkan kanser pangkal rahim pada masa akan datang, katanya.
Jelas Dr. Harlina Halizah lagi, wanita yang cuba menyembunyikan kandungan selalunya akan melahirkan anak mereka secara bersendirian.
Jika ini dilakukan, dibimbangi tahap kesihatan si ibu akan menjadi amat rendah, kemungkinan anak yang dilahirkan songsang, kelahiran anak pramatang, komplikasi uri di bawah, muka kelihatan pucat akibat kurang darah mahupun tumpah darah yang boleh menyebabkan kematian.
Selain itu, akibat kehamilan yang tidak dirancang ini wanita itu juga tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan kandungan mereka bagi mengelakkan kandungan mereka terus membesar dan diketahui.
Untuk menggugurkan kandungan, ada yang sanggup berjumpa dengan doktor mahu pun bidan-bidan yang tidak dijamin keselamatannya.
Wanita yang melakukan keguguran berisiko tinggi untuk mendapatkan jangkitan kuman pada kelamin, mengalami masalah dan kerosakan pada rahim, pendarahan yang banyak serta boleh menyebabkan kematian, katanya.
Menurutnya, wanita yang menerima kehamilan yang tidak dikehendaki seperti ini akan mengalami keadaan murung, tertekan, keletihan, kesakitan dan akhirnya boleh membunuh diri kerana tidak tertanggung dengan tekanan yang menimpa.
Wanita juga boleh diserang eclampsia (sawan) yang disebabkan oleh darah tinggi semasa hamil, protein dalam air kencing yang banyak dan anak mati kelemasan di dalam kandungan.
Semua perkara berkaitan dengan kesihatan, pastinya ditanggung oleh wanita sendiri dan sedang mereka terumbang-ambing untuk mendapatkan pertolongan, masyarakat pula pastinya akan menjatuhi hukuman ke atas diri mereka.
Penghinaan dan pandangan serong masyarakat akan tertumpu kepada mereka sedangkan si pelaku lelaki bebas melarikan diri.
Justeru katanya, untuk menangani isu-isu zina dan pembuangan anak ini masyarakat seharusnya lebih praktikal dalam bertindak.
Ada yang mencadangkan agar anak-anak remaja diberikan pil perancang dan kondom, namun masyarakat seharusnya menerima anak yang mengandung luar nikah sebagai jalan terbaik.
Wanita yang hilang pertimbangan akibat mengandung hasil dari perzinaan tidak akan membuang anak mereka sekiranya kita menerima kandungan mereka.
Penubuhan rumah-rumah perlindungan kepada anak-anak remaja yang mengandung di luar nikah juga salah satu usaha untuk mengelakkan daripada bayi-bayi dibuang begitu sahaja selepas dilahirkan.
Di rumah-rumah perlindungan ini, harga diri mereka akan dipulihkan di samping memberikan mereka ilmu-ilmu keagamaan.
Ada juga saranan yang menggesa agar si pelakunya lelaki dan perempuan dihukum lebih berat dan perlunya penguatkuasaan di semua peringkat.
Katanya, sebelum melakukan zina, wanita harus terlebih dahulu menyedari implikasi yang mereka akan hadapi.
Apa pun ibu bapa perlu pintar untuk mencari penyelesaian yang konsisten kepada anak-anak dengan membekalkan mereka dengan agama yang secukupnya, peka dengan keadaan anak-anak dan memberi kasih sayang sepenuhnya.
Mereka yang menjauhi zina mempunyai disiplin diri yang kuat dan semangat yang kental, berbanding dengan mereka berkeyakinan kurang menyebabkan maruah diri yang rendah, katanya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz5fHh4ULNg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan