Dosa zina akan menghantui hingga kiamat
Soal Jawab Agama Oleh Dr. Amran Kasimin
Soalan:
Saya seorang pelajar berumur 23 tahun, telah berkenalan dengan seorang lelaki lebih kurang satu tahun. Umurnya setahun lebih muda daripada saya. Kerana terlalu sayang kepadanya dan untuk menjaga hatinya saya terlanjur lebih daripada sepuluh kali di samping untuk mencari keseronokan. Setiap kali selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, saya memperbanyakkan istighfar setiap kali sembahyang dan membaca Yasin untuk membersihkan hati.
Soalan:
Saya seorang pelajar berumur 23 tahun, telah berkenalan dengan seorang lelaki lebih kurang satu tahun. Umurnya setahun lebih muda daripada saya. Kerana terlalu sayang kepadanya dan untuk menjaga hatinya saya terlanjur lebih daripada sepuluh kali di samping untuk mencari keseronokan. Setiap kali selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, saya memperbanyakkan istighfar setiap kali sembahyang dan membaca Yasin untuk membersihkan hati.
Saya ingin bertaubat, tetapi saya kalah dengan pujuk rayunya. Saya menjadi waswas, adakah Allah menerima sembahyang dan puasa saya? Saya ingin menjadi manusia baik seperti orang lain. Saya takutkan azab Allah. Bantu saya ustaz. - INSAF, Ipoh.
Jawapan:
Kasih sayang saudari terlalu mahal harganya. Saudari sanggup menjaga hati seorang manusia yang pandai memujuk rayu dengan menggadaikan maruah dan melakukan persetubuhan haram.
Kasih sayang saudari terlalu mahal harganya. Saudari sanggup menjaga hati seorang manusia yang pandai memujuk rayu dengan menggadaikan maruah dan melakukan persetubuhan haram.
Akibat tidak berupaya membelenggu nafsu yang ada pada diri, saudari tunduk di bawah tipu daya iblis dan syaitan. Kerana rayuan manusia bersifat syaitan, saudari melakukan perbuatan zina.
Dalam surah al-Isra': 32 dijelaskan bahawa Allah subhanahu wa taala melarang semua orang daripada menghampiri zina kerana ia adalah perbuatan keji lagi buruk.
Saudari tidak terkena balasan di dunia akibat perbuatan tersebut. Walaupun demikian, menurut Islam, seperti yang dijelaskan dalam al-Quran (an-Nur: 2) bahawa balasan zina ialah seratus kali dera. Allah menjelaskan bahawa balasan tersebut hendaklah dilakukan tanpa belas kasihan semata-mata kerana menjalankan hukuman Allah.
Para ulama berpendapat bahawa balasan ini adalah bagi mereka yang bujang. Sekiranya mereka telah berkahwin, biarpun dilakukan sekali ketika hidupnya, mereka hendaklah direjam dengan batu sehingga mati.
Demikianlah hukuman yang disebut dalam hadis-hadis. Andainya balasan itu tidak dikenakan ketika hidup di dunia, apabila pasangan yang berzina itu mati tanpa bertaubat, mereka akan diazabkan di dalam neraka.
Dalam mentafsirkan ayat al-Quran (surah al-Hijr: 44) yang bermaksud, Neraka jahanam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap pintu telah ditetapkan bagi golongan tertentu, Ata' bin Aslam bin Safwan, seorang Tabiin yang merupakan seorang ahli agama yang terkenal yang diperanakkan di Yemen menyatakan pintu neraka yang paling gelap, panas penuh dengan seksaan, baunya menjijikkan lagi meloyakan ialah pintu bagi mereka yang melakukan zina padahal mereka tahu tentang tegahan perbuatan zina.
Dalam sebuah hadis, Baginda s.a.w. ada bersabda: Wahai orang yang beriman, takutilah kamu akan zina, kerana akibat daripadanya ada enam perkara, tiga di dunia dan tiga lagi akan berlaku di akhirat. Ada pun yang berlaku di dunia ialah kehilangan keceriaan wajah, pendek umur dan sentiasa dalam keadaan susah, manakala tiga balasan di akhirat ialah kemurkaan Allah, balasan yang buruk, juga azab di neraka.
Rasulullah menjelaskan bahawa apabila seseorang itu berzina, maka akan keluarlah iman daripada dirinya seumpama awan yang melindungi atas kepalanya, kemudian apabila ia hilang, iman itu kembali semula.
Dalam sebuah hadis lain, riwayat Al-Hakim, baginda bersabda: Barang siapa berzina ataupun minum arak, Allah cabutkan daripadanya iman, seumpama manusia menanggalkan pakaian daripada kepalanya.
Hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain yang tidak dijelaskan di sini menyatakan bahawa seorang hamba yang melakukan zina, imannya telah keluar daripada dirinya. Bermaksud andainya dia benar-benar beriman kepada Allah, dia tidak akan berzina.
Persoalan yang saudari hadapi kelihatan pada zahirnya terlalu mudah. Berkenalan dengan teman lelaki, jatuh sayang lalu melakukan zina. Pelbagai alasan dikemukakan, kerana menjaga hati, kerana terlalu cinta dan sebagainya. Sebab yang sebenarnya ialah kerana pada diri saudari sendiri pun ada nafsu untuk berbuat demikian.
Apabila seseorang itu telah terjebak dengan zina, dia akan ketagih dan sentiasa terangsang. Tidak ada sesuatu pun yang hendak ditakutkan, lebih-lebih lagi sekiranya kedua-dua pihak pandai menyimpan rahsia, tidak mengandung dan tidak ditangkap basah.
Walaupun demikian, sekiranya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah dan memahami hukum syariah, dia akan memahami bahawa zina itu adalah termasuk dalam salah satu dosa besar yang membinasakan.
Sekiranya seseorang itu terlepas daripada balasan dunia, kerana undang-undang itu tidak dilaksanakan, tiada undang-undang zina atau kerana sebab lain, balasan di akhirat tetap sedia menanti kecuali mereka bertaubat.
Allah berfirman (al-Furqan: 68-70): Mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain selain Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian, nescaya dia mendapat balasan dosanya, akan digandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan hina, kecuali mereka yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka diganti oleh Allah dengan kebajikan. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.
Setiap kali selepas melakukan perbuatan zina, saudari beristighfar lepas sembahyang dan membaca Yasin untuk membersihkan hati. Dalam penjelasan yang lain, saudari menyatakan bahawa saudari ingin bertaubat tetapi kalah dengan pujuk rayu.
Berdasarkan kenyataan ini, saya mengambil kesimpulan bahawa saudari tidak dapat membezakan antara beristighfar dan bertaubat. Beristighfar bererti memohon keampunan dan bertaubat pula bererti menyesal dan tidak mengulangi perbuatan dosa yang lalu. Hakikatnya beristighfar itu adalah bertaubat.
Perlu difahami bahawa diterima atau tidak taubat seseorang hamba adalah di luar keupayaan manusia untuk memutuskan. Manusia tidak mampu memberi neraca timbangan.
Walaupun demikian adalah diyakini bahawa antara tanda-tanda taubat seseorang itu diterima Allah ialah dia tidak akan mengulangi dosa itu berulang kali. Antara tanda-tanda taubat seseorang itu tidak diterima Allah ialah seseorang itu bertaubat, atau memohon keampunan, tetapi mengulangi dosanya.
Inilah di antara tanda-tanda taubat yang tidak diterima Allah. Amalan seperti ini tidak ubah umpama mempersendakan Allah atau apa yang diistilahkan sebagai istihza.
Saudari tahu zina itu berdosa. Allah memberi ancaman tentang balasan di dunia dan akhirat. Setiap kali selepas melakukan zina saudari membaca Yasin dan bertaubat, kemudian mengulanginya.
Dalam tempoh lebih kurang setahun mengenali teman lelaki yang saudari kasihi sangat-sangat itu, saudari telah melakukan perbuatan zina lebih daripada sepuluh kali. Ia satu bilangan yang bukan sedikit dan berlaku dalam tempoh setahun pula.
Kata-kata saudari tentang ``takut azab Allah'' hanya mainan lidah sahaja iaitu ketika timbul rasa kesal setelah berzina. Saudari pada hakikatnya tidak pernah takutkan Allah.
Ketika menapak menemui kekasih saudari, saudari dipujuk rayu dan terus-menerus menyerahkan kehormatan diri untuk melakukan maksiat. Sesungguhnya mainan lidah dan gerak laku manusia itu adalah dua perkara yang berbeza.
Perilaku manusia adalah hakikat diri yang sebenar. Saudari faham bahawa apabila setiap kali berjumpa teman lelaki akan memujuk rayu dan saudari akan menyerah kalah. Kerana itu, kalau saudari benar-benar tidak mahu melakukan zina dan takut azab Allah, saudari mesti mengelakkan diri daripada berjumpa dengannya.
Saudari terlalu berkeinginan menjadi manusia baik seperti orang lain. Untuk menjadi baik ketika menghadapi masalah-masalah seperti yang saudari hadapi, segala-galanya bergantung pada diri sendiri. Balik ke pangkal jalan dan jangan melakukan maksiat lagi.
Memang benar dalam keadaan seperti ini tidak mudah saudari melepaskan diri daripadanya. Terasa maruah diri dalam genggamannya. Menjadi seumpama kelapa telah ditebuk tupai. Sukar untuk mencari lelaki lain. Saudari di persimpangan antara kasih, ketagih, nafsu, maruah diri dan kekangan berumah tangga.
Lelaki yang baik memerlukan perempuan-isteri yang baik. Dalam keadaan bergelumang dosa, saudari perlu mempunyai maruah diri. Tanya secara terus terang sama ada teman saudari itu ingin memperisterikan saudari atau semata-mata melepaskan nafsu sahaja.
Lebih baik dikenal pasti hasratnya yang sebenar dari awal lagi daripada saudari ditinggalkan begitu sahaja setelah puas dia menguliti saudari dan badan dimamah usia.
Lelaki yang benar-benar ingin menjadikan teman perempuannya sebagai isteri akan memelihara dan menjaga bakal isterinya itu sebaik mungkin dan menjauhkan diri daripada melakukan zina.
Jangan jadikan amalan zina ini tiket berkahwin, ditakuti kalau-kalau saudari bertemu dengan teman lelaki yang merosakkan orang lain tetapi dia sendiri mahukan perempuan yang suci dan tidak ternoda untuk dijadikan seorang isteri.
Di antara dosa zina dengan penerimaan ibadah sembahyang, puasa dan lainnya adalah dua perkara yang berlainan. Ketahuilah bahawa zina adalah termasuk dalam dosa besar. Di akhirat kelak, segala dosa dan pahala manusia akan ditimbang.
Sekiranya dosa ternyata banyak, hamba berkenaan akan dimasukkan dalam neraka, tetapi akhirnya dia akan dimasukkan juga dalam syurga andainya dia tetap mengaku Allah itu Tuhannya, dan Muhammad itu rasul-Nya.
Orang yang melakukan ibadah sembahyang dan puasa dengan cukup syarat akan diterima Allah amalannya dan diberi pahala. Namun sekiranya dia banyak melakukan dosa, termasuk dosa-dosa besar seperti zina, maka pahala ibadah tersebut akan hanya menjadi penebus dosa-dosa tadi.
Walaupun demikian, orang yang benar-benar sembahyang dan diterima Allah sembahyangnya tidak akan melakukan kejahatan dan kemungkaran termasuk dosa zina kerana sembahyang mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
- Pembaca yang ada kemusykilan
alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia
46M, Jalan Chan Sow Lin
55200 Kuala Lumpur.
Faks: 03-92213752
E-mel: mingguan@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5fma5HJUy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan