“KONSEP TABAYYUN DALAM MENDEPANI LEDAKAN MAKLUMAT ”



KONSEP TABAYYUN DALAM MENDEPANI LEDAKAN MAKLUMAT

(16 Mac 2018 / 28 Jamadilakhir 1439)





SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.  Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Konsep Tabayyun Dalam Mendepani Ledakan Maklumat”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bohong adalah menyatakan sesuatu yang tidak sesuai dengan kenyataan atau berlainan dengan hal sebenarnya. Dalam konteks ajaran Islam, berbohong adalah termasuk akhlak yang tercela kerana memberi kerugian kepada orang lain bahkam mudarat yang sangat teruk. Oleh itu, tidak hairanlah perbuatan berbohong termasuk di dalam dosa-dosa besar.
Berdasarkan kemelut yang melanda ummah mutakhir ini, kita dapati terlalu banyak berita dan maklumat tidak benar tersebar sepantas kilat. Kecanggihan alat komunikasi dan wadah media sosial telah disalahgunakan sebagai alat untuk menabur fitnah atau spekulasi yang sengaja dibuat-buat bagi tujuan hiburan dan lawak jenaka. Malah ada yang mengecam dan membuat tuduhan melulu bermotifkan populariti supaya menjadi terkenal.
Waspadalah! menyebarkan sesuatu yang tidak benar tanpa diselidiki tahap kesahihannya, jelas dilarang oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika berita tersebut membawa kepada kancah perpecahan, pergaduhan dan merosakkan hubungan.  Justeru, Allah SWT menjelaskan kepada kita kaedah yang betul apabila memberi atau menerima sesuatu maklumat sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Hujurat ayat 6,



Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan”.


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bagaimana kaedahnya untuk menentukan sesuatu berita itu benar atau sebaliknya?.
Ya berdasarkan ayat tadi adalah penting untuk kita memeriksa, menyelidik dan menyiasat terlebih dahulu kebenaran setiap berita yang diterima sebelum mengambil apa-apa tindakan. Usahlah kita terburu-buru dan hilang kesabaran sebagaimana sikapnya golongan yang munafik. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 83,
Maksudnya: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; dan kalau mereka kembalikan hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja di antara kamu”.

          Satu kisah diriwayatkan mengenai al-Walid bin Uqbah yang diutuskan oleh Rasulullah SAW untuk memungut zakat daripada Bani al-Mustaliq. Ketika berita ini didengari oleh Bani al-Mustaliq, mereka sangat gembira dan keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangan utusan tersebut.
Namun sebelum al-Walid tiba, ada seorang munafik memberitahunya bahawa Bani al-Mustaliq ini telah murtad, menolak dan tidak mahu membayar zakat, bahkan berhimpun di luar kota untuk menghalang kedatangannya. Dengan khabar ini, al-Walid segera kembali ke Madinah dan melaporkannya kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW sangat marah mendengarnya lalu menyiapkan sepasukan tentera untuk memerangi mereka.
Pada ketika ini, datang wakil daripada Bani Mustoliq bertemu baginda SAW dan menerangkan hal yang sebenarnya iaitu mereka bukan berkumpul untuk membunuh al-Walid, tetapi adalah untuk menyambut kedatangan wakil daripada Rasulullah SAW untuk diserahkan sedekah ataupun zakat mereka

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Sebagai mukmin kita perlu berhati-hati dan berwaspada apabila menyampaikan sesuatu berita. Pastikan berita itu mempunyai nilai kebaikan dan manfaat kepada masyarakat. Jika tidak jangan disampaikan maklumat sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam soal agama, maruah dan hubungan kemasyarakatan.
Tindakan tabayyun membantu kita memproses maklumat yang benar dan lebih tepat serta tidak memudaratkan mana-mana pihak yang berkaitan. Suasana ini menjadikan kehidupan masyarakat dalam keadaan aman damai dan sentiasa bersangka baik antara satu sama lain malah menjadi intipati kemajuan dan kesejahteraan sesuatu ummah dan negara.
Sebagai pengajaran daripada khutbah hari ini, sama-samalah kita memberikan perhatian serius kepada perkara-perkara berikut:
Pertama:
Pelaksanaan tabayyun merupakan ibadah yang dapat meningkatkan iman.
Kedua:
Berhati-hati dan tidak terburu-buru apabila menyebarkan maklumat sehingga terbukti benar lagi sahih.
Ketiga:
Jangan sekali-kali mereka-reka cerita, ataupun menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihanya. 




Maksudnya: Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan. (Surah al-Isra’:36)




          





untitled.JPG

KHUTBAH KEDUA


Wahai hamba Allah, ingatlah bahawa dunia ini adalah tempat tumpangan untuk sementara, akhirat jualah sebenar-benar tempat yang kekal selama-lamanya. Oleh itu, marilah kita bertakwa kepada Allah untuk mendapatkan kebahagiaan serta menyelamatkan diri daripada siksaan api neraka. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 56:

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya bersalawat kepada Nabi; wahai orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya serta mohonkanlah kesejahteraan dengan sepenuh penghormatan.”



Ya Allah, ampunkanlah sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meningggal dunia. Ya Allah, kurniakanlah taufik dan hidayah, kekuatan, kesejahteraan dan pertolongan kepada ketua-ketua negara Islam dan Raja-Rajanya, khasnya kepada;



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ Maksudnya :"Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sebesar zarah rasa takabbur" [Sahih Muslim : Book of Faith, 166]

MEMBAZIR AMALAN SYAITAN إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا Maksudnya:"Sesung...